Thursday, August 3, 2017

BERSAMA BANTU MEREKA

“Cikgu, bagaimana dengan prestasi anak saya? “seorang ibu bertanya dengan lembut ambil menunggu aku menyelesaikan urusan pembayaran yuran anaknya.
.
“Anak puan ya? Dia boleh membaca cuma kadang-kadang agak merangkak sedikit.“ aku menjawab menerangkan serba sedikit prestasi anaknya setakat pengetahuan aku.
.
“ Saya risau cikgu.  Tahun depan sudah nak masuk Darjah 2 tapi masih belum pandai membaca.  Sempat tak boleh membaca akhir tahun ni? Saya risau anak saya akan ketinggalan subjek-subjek yang lain kerana tidak pandai membaca.”  Si ibu meluahkan perasaan risaunya.  Iyalah.  Ibu mana yang boleh bertenang apabila seorang anak ketinggalan dari anak-anak yang lain.
.
“ Saya faham perasaan puan dan saya hargai usaha puan masukkan dia ke dalam kelas tuisyen ini.  Anak puan walaupun tak pandai membaca tapi dia rajin dan ada keinginan nak membaca tu.  Tadi pun anak puan minta saya bekalkan dia beberapa salinan nota bacaan untuk dia belajar di rumah.  Jadi sekarang ini saya mampu katakan anak puan insyaAllah boleh membaca tahun ini dengan syarat kita sama-sama sokong dia.  Kami di sini cuba sehabis mungkin untuk membolehkan dia pandai membaca sebelum masuk tahun depan dan puan juga perlu awasi dia di rumah.  Dengan izin Allah, dengan usaha kita semua, anak puan pasti boleh membaca nanti.” Panjang lebar aku memberikan semangat kepada ibu tersebut dengan harapan si ibu itu jangan putus asa.  Seperti kami juga di sini. J
.
Itulah hati seorang ibu.  Setiap masa merisaukan anak-anaknya.  Pelajaran anaknya sentiasa dipantau bagi memastikan mereka tidak ketinggalan berbanding rakan-rakan yang lain.  Bersabarlah ibu.  Jangan sesekali putus asa dengan kemampuan anak-anak kerana mereka juga mampu berjaya.  Berikan sepenuh keyakinan dan semangat kepada mereka kerana mereka perlukannya.

MEREKA MUNGKIN LAMBAT, TAPI MEREKA PASTI BERJAYA JUGA!!!!




No comments:

Post a Comment