Monday, July 31, 2017

KISAH 2 BULAN

Sudah masuk bulan ke dua aku bekerja di syarikat tersebut.  Risau? Ya memang aku agak risau.  Sebab beban dah tergalas di bahu aku walaupun aku masih lagi baru.  Setiap malam, bila Allah membangunkan aku untuk solat malam, aku pasti berdoa:

“Ya Allah.. permudahkanlah urusan kerjaku.  Bantulah aku untuk membantu bos aku membangunkan syarikatnya.  Ya Allah permudahkanlah urusanku.  Bantulah aku ya Allah.”

Tapi, Allah lebih tahu dari aku.  Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buatku.  Di kala aku sentiasa berdoa untuk dipermudahkan urusanku, aku diuji.
Minggu pertama, penghawa dingin kelas atas tidak menjadi.  Ya Allah, dugaan apa ini.  Selama sebulan aku bekerja bersama rakan sekerja yang berpengalaman, segalanya berjalan lancar tapi apabila beban itu aku yang galas sendiri, Allah uji dengan semua tidak kena.  Ya Allah dugaan apa ini.

Minggu kedua, kipas di satu kelas pula tidak mahu bergerak.  Ya Allah sekali lagi Engkau uji hambamu ini.  Hampir aku terduduk mengenang nasib.  Nasib baik penghawa dingin masih bertahan di kelas itu walaupun sedikit menguji kesabaran aku.

Minggu ketiga, kipas di bilik bawah pula tidak bergerak.  Ya Allah.  Dah la penghawa dingin kelas itu tidak berfungsi dengan baik.  ya Allah sekali lagi Engkau uji hambamu.  Entah apa silapnya.  Entah apa yang tidak kena dengan diriku.

Esok 31hb, hari terakhir bulan ini dan penutup bulan ke 2 aku bekerja di sini.  Termenung dan muhasabah aku sendiri.  Dikala aku bermohon kepada Allah untuk bantu aku majukan syarikat itu, Allah kurniakan aku ujian dengan kerosakan satu persatu. Bos aku sempat berkata,
“tak sangka kan, tidak kekal lama benda-benda itu”
“Memang la tak kekal sebab semua itu manusia yang buat” aku menjawab menyenangkan diri.

Ya Allah, Allah hadirkan ujian itu tepat pada masanya.  Tepat sekali bentuknya. Allah bantu aku dengan rosakkan kipas-kipas dan ppenghawa dingin itu supaya semuanya dibaiki, diservis.. supaya berjalan lancar dan kelas selesa.  Ya Allah.. Allah Maha Mengetahui dan engkau tahu apa yang terbaik buat kami.  Alhamdulillah.. Engkaulah yang aku sayang.  

Wednesday, July 26, 2017

Allah uji lagi

“ Su, su dah tahu ke abah masuk spital tadi?” Sepupu aku memulakan bicara selepas aku menjawap panggilannya. Abah tu adalah panggilan buat bapa saudara aku.

“Haa.. bila abah masuk hospital?” Aku menjawap dengan nada terkejut.

“ Abah kene strok tadi masa dekat tempat kerja.  Ada kawan dia hantar klinik Manek Urai pahtu kene hantar ke Hospital Kuala Krai” dia menerangkan keadaan.

“ Ya Allah.  Ok-ok. Terima kasih beritahu.  Nanti su pergi dengan ma lepas balik kerja nanti. “ Aku menamatkan perbualan.

Ya Allah.  Aku segera meminta untuk pulang awal dengan bos aku.  Sepanjang perjalanan, aku hanya mampu berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja.  Itulah bapa saudara aku yang sudah aku anggap macam ayah aku sendiri setelah ayah aku meninggal 2 tahun yang lalu.  Dialah tempat aku dan ma bergantung harap.  Segala-galanya dia.

Sampai di rumah, aku segera memanggil ma aku di dalam kereta.  Tak sabar aku ingin bergerak laju bertemu pak cik aku itu.  Kami berkejaran ke hospital Kuala krai namun hanya mampu menatap ambulans yang membawa dia ke Hospital USM.  Ibu saudara aku sudah tandatangan surat kebenaran melakukan pembedahan untuk membuang darah beku di dalam kepala pakcik aku.  Ya Allah.  Dugaan apa ini.  Aku takut.  Ma aku membuat keputusan untuk tidak pergi ke HUSM malam itu juga kerana faktor kesihatan ma dan juga faktor ketidakpandaian aku membawa kereta pada waktu malam.  Kami serahkan semuanya kepada Allah semalam.

Pagi tadi, aku, ma dan adik aku bergerak ke HUSM dan sampai tepat-tepat pada waktu melawat tengah hari.  Alhamdulillah Allah permudahkan urusan aku untuk meletak kereta yang biasanya sentiasa penuh.

Sampai di wad, alhamdulillah.  Pak cik aku sedar dan masih mampu tersenyum.  Pembedahan semalam juga dibatalkan kerana pakcik aku sudah sedar.  Cuma mungkin mulutnya herot sedikit dan dan tangan dan kaki sebelah kiri agak lemah.  Apapun, alhamdulillah ya Allah.  Pakcik aku masih mampu tersenyum.  Katanya pakcik aku kene strok disebabkan oleh tekanan darah tinggi dan kencing manis yang terlalu tinggi. 

Alhamdulillah.  Segala puji bagi Allah.  Aku tidak mampu lagi hadapi ujian kehilangan orang yang aku sayang.  Biarlah aku tulis cerita ini.  Supaya aku sentiasa ingat detik-detik aku mungkin kehilangan seorang lagi yang aku sayang.  

Sunday, July 23, 2017

Warna Aku


MURAHKAN REZEKI SU

MURAHKAN REZEKI SU
+++++++++++++++++++

Pagi tadi, seperti biasa sebelum keluar ke tempat kerja, aku pasti akan bersalam dan mencium pipi ma aku.  Dan seperti biasa setiap kali lepas salam, ma seakan-akan tidak ingin melepaskan tangan aku.  Cuma kali ini berbeza.  Ma bisik kepada aku, “Murahkanlah rezeki su”. Aduh sebak aku apabila teringat kembali.

Dalam kereta, kepala aku ligat berfikir.  Gaji aku memang dah tepat, cukup-cukup makan saja.  Mana mungkin akan bertambah selepas doa itu.  Bukan tidak percaya dengan kuasa Allah, cuma sekadar persoalan yang bermain-main di kepala.

Sampai di tempat kerja, aku memulakan tugas seperti biasa.  Tiada apa yang lain, masih sama seperti hari-hari biasa.

Petang tu, selesai solat Zohor, aku ingin menyambung tugasan aku di kaunter. Terkejut aku apabila ternampak bos tenang duduk di sofa depan.  Tiba-tiba,

“Su, awak puasa ke hari ini?”

“ Tak, saya tak puasa”

“ Tadi ada orang beri saya nasi.  Saya cakap takpalah.  Boleh bagi kepada Su.  Awak makanlah dan ada air sekali”.

“Terima kasih”

Alhamdulillah rezeki aku.  Tak pernah sangka akan dapat makan percuma petang tu.  Aku cepat-cepat makan sebelum staf lain masuk kerja.  Tidak mahu menimbulkan syak wasangka.

Tidak lama kemudian, staf lain masuk.

“Su, jom pergi beli aiskrim dekat kedai roti tu.”

“Jom, Su teman”

“Pilihlah nak makan apa.  Saya belanja”

“Terima kasih”

Alhamdulillah rezeki kali ke dua pada hari ni.  Selesai makan semua, hati kecil aku terdetik.  Segala rezeki aku hari ini mungkin berkat doa ma.  Itu baru sikit.  Bayangkan kalau ibu kita doakan kita murah rezeki setiap hari, setiap masa. 

Terima kasih ma atas doa itu.

Saturday, July 22, 2017

AKU PILIH BAHAGIA

Hidup sering kali diuji setakat kemampuan kita. 

Ada orang diuji dengan sukar mendapat pekerjaan.  Beratus duit habis untuk menghantar resume merata tempat, berpuluh temuduga sudah dia pergi namun rezeki masih belum ini mendekatinya.  Entah apa silap, entah apa dosanya.  Rezekinya seakan-akan tersekat.

 Ada orang diduga dengan mendapat majikan yang tidak seperti yang diimpikan.  Selalu kawan bercerita, majikan sangat menjaga hati dan terlalu bertimbang rasa.  Namun majikannya jauh panggan dari api.  “Dah la cerewet, suka-suka hati merendahkan diri aku” getus hati si dia.  Setiap pagi dirasakan suatu azab baginya. 

Ada orang disahkan menghidap penyakit yang serius.  Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Sakit aku yang merasa, mereka hanya mampu berkata, “Sabarlah.. Sabarlah”..  Badan aku sakit. Jiwa aku tidak kuat.

Dan banyak lagi ujian yang Allah kurniakan kepada umatnya.  Kepelbagaian ujian bergantung kepada tahap kemampuan seseorang hambaNya.

Pilihlah untuk bahagia.  Carilah kebahagiaan disebalik ujian yang Allah beri kerana kita juga mampu bahagia. 

Dikala diuji sukar mendapat pekerjaan, tenanglah. Allah ingin beri kita masa untuk berkhidmat untuk keluarga.  Ada masa yang lebih untuk bahagiakan mereka.

Dikala diduga majikan lain dari yang lain, berbahagialah.  Allah ingin menjadikan kamu seorang yang bersyukur walaupun diuji.  Sekurang-kurangnya kamu telah melepasi tahap tiada pekerjaan seperti yang dihadapi ramai orang sebaya kamu di luar sana.

Dikala kesihatanmu diuji, kuatkanlah semangat.  Allah ingin kamu lebih menjaga kesihatan dan pemakanan selepas ini.  Mungkin dengan cara itu, kamu akan lebih mudah tersedar.

Pilihlah untuk bahagia. 
Pandanglah kebaikan disebalik ujian Allah.
Senyumlah.

Kerana kamu juga boleh bahagia.   

PERCAYA PADA ALLAH












Tuesday, July 18, 2017

PERCAYALAH

Mencintai seseorang itu adalah hak kita
namun memiliki seseorang yang kita cintai
tanpa ikatan sah dan halal itu bukan hak kita..

LEPASKAN IA PERGI
++++++++++++++++

Jangan pernah takut melepaskan sesuatu yang belum berhak kita miliki. Dia pasti akan kembali seandainya Allah menjadikan dia untuk kita miliki atau Allah akan gantikan dengan yang jauh lebih baik.

"JANGAN PERNAH TAKUT KEHILANGAN SESUATU YANG BUKAN HAK KITA"

Allah Maha Merancang dan Mengetahui segalanya. Allah tahu masa yang tepat, tempat yang terbaik, saat yang paling sesuai untuk dihadiahkan kepada hambaNya yang sabar dan sentiasa berusaha dan selepas itu bertawakal hanya kepadaNya.

yang benar,
Copy paste dengan izin.
😍


HADIAH HARI LAHIR

Alhamdulillah.. hari ini dapat hadiah hari lahir dari kakak aku..
Hihihi..
Suka tak terkira walaupun ucapan kakak aku
“Semoga bilik dia bebas dari habuk nanti”


Terima kasih kakak.
Aku sayang kamu

Sunday, July 16, 2017

HANTARAN IMPIAN AKU







MAKLUMBALAS CERITA JUMAAT LEPAS

Sekadar luahan hati, sekdar luahan perasaan.
Tiada siapa yang memahami, tiada tempat untukku mengadu.
Hanya di ruangan ini aku mampu menaip segalanya

Cerita Jumaat Lepas yang aku lakarkan sebelum ini adalah cerita sebenar yang aku lalui, yang aku alami.  Segala ayat, perkataan serta idea adalah datangnya dari aku.  Ya aku.  Yang tidak sesempurna mana seperti yang engkau lihat.  Yang jika dilihat dari luaran, seorang wanita yang tidak pandai mempamerkan perasaan, tidak reti berbahasa sehalus mungkin.  Andai cerita itu membolehkan menimbulkan kekecohan, maaf aku katakan.  Itu sekadar luahan rasa hati aku, dan coretan ini sekadar gambaran kenangan aku suatu hari nanti.

Cerita itu aku jadikan status tempat aku bekerja.  Sekadar sedikit idea untuk berkongsi dengan orang lain.  Namun, ada seseorang yang mempersoalkan status tersebut.

“ Su, su ke yang post status tadi?” tanya dia mendapatkan kepastian.

“Ya, su lah yang postkan tadi.  Kenapa?” aku menjawab endah tak endah

“Dari mana su dapat cerita tu?” dia kembali mempersoalkan kesahihan status itu sambil ketawa kecil.  Pelik sangat barangkali apabila aku mampu berbahasa seperti itu.

“Su buat sendirilah” Jawab aku tanpa memandang kearahnya.  Jujur dalam hati aku, teruk sangat ke bahasa yang aku gunakan sampai dipersoalkan sebegitu rupa.

“Su memang suka menulis ya?” si dia masih belum puas dengan jawapan aku. 

“Tak.  Su hanya suka membaca tulisan orang”.  Aku menjawab sebagai penutup bicara kami.

ya, jawapan itu yang aku rasa paling tepat.  Jawapan itu juga aku jawap apabila disoal oleh seorang penulis melalui Facebook Messenger sambil memperkenalkan diri masing-masing.  Mungkin dilihat aku berkawan ramai dengan penulis di Facebook itu. 

“Aku sekadar peminat membaca tulisan dan bahasa penulis”

Sampai bila aku begitu?

Sampai suatu hari nanti aku berjaya hasilkan buku aku sendiri dengan gaya bahasa yang orang lain boleh terima.  Biarlah buku aku nanti memberi manfaat kepada semua orang supaya apabila aku tiada kelak, ada sesuatu untuk dikenang. 

Saturday, July 15, 2017

CERITA JUMAAT LEPAS

CERITA JUMAAT LEPAS
=================

“Semua ambil kertas latihan ni setiap seorang.  Kemudian, kita buat sama-sama”

Tiba-tiba ada seorang pelajar 6 tahun menjawab,

“Cikgu, saya taknak buat latihan hari ini.”

“Kalau tak buat latihan, awak nak buat apa?”

“Saya nak baca buku dengan cikgu”

“Mari duduk dekat cikgu.  Kita baca buku sama-sama.  Sementara tu, yang lain buat latihan dulu.”

Inilah kisah benar pelajar kelas Cepat Membaca di pusat tuisyen kami minggu lepas.  Bersemangat sungguh anak itu nak membaca bersama-sama.  Biarlah masih tergagap nak menyebut satu-satu suku kata tapi anak itu dengan yakin baca sehabis kuat.  Sanggup ulang ayat yang sama berulang-ulang kali.  Apa nak dimalukan, kawan-kawan sekelas pun lebih kurang senasib dengan anak itu.  Berikan dorongan kepada mereka, pasti anak-anak akan lebih yakin dan berusaha untuk perbaiki kelemahan mereka.  Walaupun mereka masih belum faham apa pentingnya pandai membaca.

Anak-anak sayang,
Belajar rajin-rajin ya!

****************************************************************

Ini kisah benar.  Hampir 2 bulan aku bekerja di Pusat Tuisyen ini. Kadang-kadang apabila berlaku masalah ketiadaan guru, aku terpaksa mengambil alih tugas tersebut walaupun diibaratkan bidan terjun. Kalau kelas Cepat Membaca yang pelajar kebanyakannya berusia 6 7 tahun, aku masih boleh berlapang dada.  Niat aku hanya ingin membantu mereka sebab aku sangat-sangat kasihankan mereka yang ketinggalan ini.  

Mungkin salah mereka kerana malas, mungkin juga salah ibu bapa yang tiada masa untuk bersama mereka.  Mungkin juga kerana salah guru yang tiada kemahiran untuk mengajar atau kurang empati untuk memahami apa sebenarnya yang anak-anak itu perlukan.  

Tapi pengalaman minggu lepas adalah yang aku tidak ingin lupakan.  Apabila seorang anak ini dengan rela hati ingin membaca bersama-sama aku.  Tidak disangka, di kala kawan-kawannya sudah tidak terkawal kerana waktu balik sedang menghampiri, dia masih tekun untuk membaca bersama.  Aku suruh berhenti untuk tukar giliran dengan kawan yang lain pun dia menolak.  Biasanya sebelum ini, dia bukan begitu.  Dia adalah yang paling sombong dengan aku.

Ya Allah..
Hikmah apakah yang Engkau ingin tunjukkan kepadaku ini.
Terima kasih ya Allah
Kerana bukakan hati anak-anak aku untuk belajar.

Yang benar,
Cikgu ganti aka bidan terjun

Friday, July 7, 2017

AYAH AKU RINDU

Assalamualaikum ayah.  Apa khabar ayah di sana? Pasti ayah sedang bergembira mengumpul pahala dari anak-anak ayah kan? Su sentiasa doa semoga ayah berbahagia selalu di sana.  Tunggu su di syurga ye ayah.  Sentiasa sayang ayah.  Selalu.

Ayah sayang..
Hati su sekarang sedang bergolak..
Hati su sedang dilanda keresahan..
Tiada tempat untuk su mengadu
Tiada tempat yang menjadi pilihan kedua untuk memujuk..

Ayah sayang.. Ingat lagi kisah su dulu.  Su dapat panggilan kedua untuk kemasukan matrik dan ayah hantar su ke Perak.   Hati su sebenarnya memberontak taknak pergi tapi ikutkan saja.  Hari-hari su nangis ayah.  Kalau telefon ma, pasti ma akan pujuk.. sabarlah su.. sabarlah su..  berhari-hari macam tu sampailah satu tahap, su telefon ayah.. mengadu.. dengan tenang ayah cakap, “ Su rileks-rileks.. nanti ayah cakap dengan ma”.. itulah kali pertama su nangis bila cakap telefon dengan ayah.  Su ingat lagi, hari jumaat genap 2 minggu su di situ, su nak solat zohor.  Dalam hati su cakap, kalau tak dapat penyelesaian jugak, takpalah.. Su redha.. habis je solat zohor, ayah telefon suruh kemas barang.  Katanya ayah nak datang esok ambik su... ya Allah.. terima kasih ayah.

Ayah sayang.. sekarang su diuji lagi seperti itu.  Tapi sekarang su dah tak ada tempat mengadu.  Dah tak ada pilihan kedua untuk su luahkan perasaan.  Ayah sayang.. Su rindu.. Su ganti mengadu dengan ayah kepada mengadu pada Allah.. ayah jangan risau tau.. insyaAllah Allah akan bantu su.  Allah akan bantu su sebab Allah tahu yang su dah tiada tempat mengadu lagi selainNya.

Ayahku sayang..
Dan selamanya sayang..

BERSYUKUR DENGAN HIDUP

Entah kenapa, hati ini diketuk-ketuk bagai memberontak.   Doa yang dipohon masih tidak berjawap lagi.  Tapi Allah itu maha kuasa.  Allah bagi hadiah lain dulu sementara nak dapat jawapan bagi persoalan aku.

Aku scroll Facebook terjumpa satu status daripada seorang kakak yang aku kenal rapat semasa sertai program latihan di Bangi tahun lepas.  Suaminya menghidap kanser darah dan kini hidupnya sering berulang alik menemani suaminya di hospital. 


Ya Allah, tabahnya hati dia dikala diuji sebegitu rupa.  Masih lagi tersenyum walaupun beraya di hospital.  Aku?? Hanya sekadar diuji sedikit tapi hati sudah memberontak sedangkan dia?? Allahuakbar.. Allah sebaik-baik memberi pengajaran.

Hidup kita akan selalu indah jika kita selalu bersyukur..
Bersyukurlah dengan sentiasa melihat orang yang di bawah kita..
Yang diuji lebih kuat dari kita, yang semangat sentiasa dicabar oleh hati..


Alhamdulillah.

Wednesday, July 5, 2017

Mulakan Hari Ini - Inteam

Ku lihat matamu ada mendung duka
Luka semalam Usahlah bersedih
Pasti Tuhan menggantikan bahagia

Mulakanlah hari ini
Dengan wajah ceria
Syukur kerna dirahmati
Redha dan berusaha

Gagal tak bermakna rebah selamanya
Sirna harapan
Masih ada waktu
Bangkit dan mengejar impian gemilang

Mulakanlah hari ini
Dengan wajah ceria
Syukur kerna dirahmati
Redha dan berusaha

Pada Tuhan tawakkallah
Penuh yakin di jiwa
Moga nyata cita-cita
Telah lama didamba

Usah beralah terus melangkah
Berbekal doa dan segenggam tabah
Detik dinanti pasti akan tiba
Kita kecapi nikmat kejayaan

Sang suria yang bersinar
Bawa harapan baru
Bukakanlah jendelamu
Bina impian megah

Pada Tuhan tawakkallah
Penuh yakin di jiwa
Moga nyata cita-cita
Telah lama didamba


Kau Ditakdirkan Untukku - Inteam, Edcoustic

Terucap syukurku, aku memilihmu
‘Tuk menjadi teman hidup setia selamanya
Belahan hati ini, kini telah terisi
Aku dan dirimu mengikat janji bahagia

Dan berlayarlah kita renda keluarga
Merentas hidup bersama
Aku bahagia ku dipertemukan
Belahan jiwaku
Tuhan persatukan kami untuk selamanya
Hingga bahagia di syurga-Mu
Pegang tanganku tataplah mataku
Engkau ditakdirkan untukku

Ikatan suci ini, selalu kan ku jaga
Meniti sakinah penuh kasih sayang dan rahmat-Nya

Dan berlayarlah kita renda keluarga
Merentas hidup bersama
Aku bahagia ku dipertemukan
Belahan jiwaku
Tuhan persatukan kami untuk selamanya
Hingga bahagia di syurga-Mu
Kau amanahku, isteriku tercinta
Engkau ditakdirkan untukku

Dan berlayarlah kita renda keluarga
Merentas hidup bersama
Aku bahagia ku dipertemukan
Belahan jiwaku
Tuhan persatukan kami untuk selamanya
Hingga bahagia di syurga-Mu
Kau amanahku, isteriku tercinta
Engkau ditakdirkan untukku

Engkau ditakdirkan untukku