“Ya Allah,
sesungguhnya aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih gelisah dan aku berlindung
pada-Mu dari sifat lemah dan malas, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap
pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan
penindasan orang (aniaya). Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari
ilmu yang tidak bermanfaat dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak
pernah kenyang, dan dari doa yang tidak diperkenankan.”
Assalamualaikum
Nabi pernah menyatakan, “Bahawa
suatu yang didiamkan itu adalah rahmat untuk kamu, maka janganlah bertanyakan
lagi”
Sayyidina’ Ali telah berkata,;
bahawa sewaktu turun ayat Ali-Imran (97)
yang maksudnya menyatakan bahawa sesiapa yang berkuasa pergi ke Baitullah,
wajiblah ia mengerjakan haji. Maka dikala ini ada orang yang bertanya, “Adakah
haji itu pada tiap-tiap tahun, ya Rasulullah? Rasulullah mendengar
pertanyaannya tetapi tidak diendahkan, hingga orang itu mengulangi dua kali
atau tiga kali. Kemudian baginda
bersabda – maksudnya:
“Hampir saja aku menjawap ya!
Kalau aku berkata ya, tentulah jadi wajib tiap-tiap tahun. Kalau demikian, kamu tiada sanggup
mengerjakannya. Maka tinggalkan aku,
selama aku tinggalkan kamu. Sesungguhnya
orang-orang yang sebelum kamu telah binasa kerana banyak pertanyaan mereka dan
banyak pula bantahan mereka terhadap nabi mereka. Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu
perintah, maka kerjakanlah daripadanya barang yang kamu kuasa. Dan apabila aku tegahkan kamu dari suatu
perkara, maka hendaklah jauhkan dia.”
Kemudian, Allah turunkan ayat
ini
Allah berfirman dalam surah Al-Ma’idah:101::
“Hai orang yang beriman! Janganlah
kamu bertanya dari suatu yang jika dijelaskan kepada kamu, tentu menyusahkan
kamu.”
Menurut petunjuk hadis ini,
seorang adalah dikehendaki melakukan hukum yang telah diwajibkan, meninggalkan
larangan yang telah dipantangkan, dan jangan membangkitkan suatu yang tidak
diterangkan atau bertanya perkara-perkara yang sulit untuk difahamkan atau
menimbulkan masalah-masalah yang menyusahkan.
Berkata setengah ulama’, bahawa
banyak didapati masalah yang diada-adakan yang kadang-kadang sukar berlaku
tetapi ditakdirkan juga berlaku hingga ditetapkan hukumnya. Sementara itu ada masalah yang pada asalnya
dihukum halal, tetapi setelah timbul pertanyaan maka berubah hukumnya menjadi
haram. Diantaranya ialah:
Ada seorang yang bertanya
kepada seorang gurunya tentang hukum membeli barang-barang jualan di pekan;
adakah makruh membelinya daripada penjualnya sebelum ditanya dan siasat cara
bagaimana barang-barang itu sampai ke tangannya atau tidak makruh?
Kemudian gurunya itu menjawap:
Tidak makruh, malah harus membelinya dengan tidak payah bertanya apa-apa. Orang yang bertanya itu merasa kurang senang
mendengar jawapan tersebut, lalu diulangi pertanyaannya. Katanya: Saya amat bimbang mungkin
barang-barang itu dirampas atau dicuri. Dan
kebetulan pula di antara barang-barang tersebut ada seperti yang dikatakannya. Setelah
itu, guru itu pun menjawap lagi: Ya! Kalau benar begitu, haramlah hukumnya. Tetapi
jika engkau masih ragu-ragu makruh pula hukumnya.
Jadi timbulnya hukum yang kedua
ini kerana pertanyaan yang bukan-bukan kononnya untuk mendapat barang-barang
yang bersih. Pada hal kalau diam saja,
tentulah jawapan dari gurunya sebagaimana yang diterangkan tadi iaitu harus
atau halal membelinya kerana pada asalnya barang-barang itu telah berada di
dalam tangan penjualnya.
No comments:
Post a Comment