Tuesday, April 21, 2020

Kisah Dua Golok


Alkisahnya begini, Pak Kiai pengasas pondok pernah memberikan pesanan khusus kepada para pelajarnya.   Pak Kiai berdiri di hadapan para pelajarnya dengan membawa dua golok panjang.  Golok di tangan kanannya nampak baru dan berkilat-kilat.  Sementara yang sebelah kiri sudah berkarat.

Pak Kiai kemudiannya menghunus golok yang berkilat-kilat, lalu dia mahu menebas sebatang kayu.  Namun, sedikit lagi apabila mahu menyentuh kayu itu, ayunan golok terhenti.  Rupanya Pak Kiai mengalihkan perhatian para pelajar dengan mengejak mereka berbual.  Sambil berbual. Ayunan golok diteruskan ke arah kayu dengan santai.  Kayu tadi tidak putus.

Selepas itu, beliau menukar golok lalu menghunus golok karat dan tumpul di tangan kanannya.  Tadi raut wajah beliau santai, tetapi kali ini sangat serius.  Lalu, dengan sepenuh tenaga, beliau mengayun golok karak dengan cepat ke arah kayu. Duk.. besi berkarat terkena kayu.  Tidak terjadi apa-apa pun.  Namun, Pak Kiai tidak berputus asa, beliau mengulang-ulang perbuatan yang sama sehingga akhirnya kayu itu patah dua selepas beberapa kali dipukul golok berkarat ini.

Kemudian Pak Kiai menjelaskan hikmah daripada golok itu.  Orang pintar ibarat golok tajam.  Namun, sekiranya tidak serius dan bermalas-malasan, belum tentu golok tajam ini mampu membelah kayu. Kepintaran dibazirkan tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. 

Sedangkan orang yang tidak pintar diibaratkan seperti golok karat.  Walaupun otak tidak pintar, tetapi sekiranya terus bekerja keras, tidak jemu berusaha, maka lambat laun pasti berjaya.  Apatah lagi sekiranya golok karat diasah dengan rajin.  Abarahm Lincoln pernah berkata, “Sekiranya saya mempunyai lapan jam bagi menebang pokok, akan saya gunakan enam jam pertama bagi mengasah kapak.”  Usaha dan persiapan yang bersungguh-sungguh bakal mengalahkan usaha yang biasa-biasa sahaja.  Apabila kita bersungguh-sungguh pasti berjaya, namun apabila  tidak serius pasti akan gagal.



Petikan buku Rindu Purnama (tulisan Tasaro G.K dan A. Fuadi)

No comments:

Post a Comment