Friday, May 31, 2019

BERHABUK BLOG!

Dah nak masuk bulan Jun, baru berbelas perkongsian aku untuk tahun 2019 ini. Kebiasaannya, setiap tahun aku akan pastikan supaya perkongsian aku melebihi 100 tajuk, tapi tidak tahun ini.

Sejak-sejak aku jatuh terduduk bulan Februari yang lepas, aku membawa diri. Alhamdulillah, Allah kurniakan aku pengalaman yang sangat berharga untuk 2 bulan selepas aku jatuh tu.  Sekurang-kurangnya mampu menghilangkan kesedihan dan mengubat hati aku kembali.  Nanti aku ceritakan pengalaman aku tu dalam perkongsian yang lain.

Dan sekarang..
Alhamdulilllah.
Setiap perancangan Allah tiada yang sia-sia.
Aku bersyukur dengan segala yang telah Allah tetapkan kepada aku sepanjang tahun ini.


Alhamdulillah. 


KISAH TELADAN


Kisah seorang pemuda yang bertanya kepada seorang tuan guru,
“Wahai Sheikh, yang manakah yang lebih baik, seorang Muslim yang banyak ibadahnya tetapi akhlaknya buruk atau seorang yang tidak beriabadah tapi amat baik sikapnya kepada sesama manusia?”

“Subhanallah, kedua-duanya baik,” ujar si alim sambil tersenyum.

“Mengapa boleh begitu?”

“Kerana orang yang tekun beribadah itu nantinya mungkin akan dibimbing Allah untuk  berakhlak mulia bersebab ibadahnya.  Manakala orang yang baik perilakunya itu, boleh jadi nantinya akan dibimbing Allah untuk semakin taat kepadaNya.”

“Jadi, siapa yang lebih buruk?” desak di anak muda.  Tiba-tiba, air mata mengalir di pipi tuan guru.

“Kita, anakku,” ujar beliau.  Lelaki tersebut terkejut.  Dalam dirinya tertanya-tanya.  Kemudian, sambung tuan guru, “Kitalah yang selayak disebut buruk lantaran gemar sekali menghabiskan waktu untuk menilai orang lain dan melupakan diri kita sendiri.”

Dalam esakan dan hiba tangisan, si alim menyambung kata, “Sedangkan kelak, kita akan dihadapkan pada Allah dan dipersoal tentang diri kita, bukan tentang orang lain.”



Saturday, May 4, 2019

Terlepas kapal terbang

Selesai saja mesyuarat hari ini, aku dihantar ke lapangan terbang untuk balik ke Kelantan. Aku berada di Kuala Lumpur selama 2 hari 1 malam untuk menghadiri mesyuarat dan melakukan lawatan kerja ke tempat kerja baru aku.  Ini merupakan kali kedua aku pergi bersendirian berulang alik menaiki kapal terbang. 

 “Betul ke akan naik flight di KLIA 2?”

“Ya betul.” jawap aku dengan yakin tanpa melihat kembali tiket flight.

Sempat lagi lepak di stesen minyak yang berdekatan dengan KLIA 2 tu. Yakinnya kamu.

30 minit sebelum boarding, aku dihantar ke lapangan terbang. Aku segera mengambil beg dan melangkah laju untuk boarding.

Sampai saja di pintu masuk, aku dengan penuh yakin menunjukkan tiket kepada polis airport yang berada di situ. Tiba-tiba,

“Adik, ni bukan naik dekat sini. Ni naik dekat KLIA 1.”

“Oh ye ke? Maaf ye” laju aku menjawap. Aku segera berjalan membuat u-turn semula untuk keluar dari barisan yang panjang. Sambil berjalan, kepala aku ligat berfikir. MasyaAllah, nak buat macam mana ni.  Itulah, nak untung RM10 sanggup beli tiket MAS tapi tak pernah tahu pun bagaimana caranya.

Pertama kali aku menghadapi ujian ini. Itulah. Terlalu fikir mudah sedangkan aku baru beberapa kali berada di sana. Aku berjalan laju tanpa hala tuju. Mata dah berair menahan perasaan.

Segera aku menelefon kawan yang menghantar tadi.

“Hello. Salah airport la.. sepatutnya KLIA 1.”

“Aduhh.. kan dah tanya tadi. Tunggu situ, nanti saya pusing semula.” Bebel dia panjang. Iyalah. Nak uturn di kawasan tu bukan mudah.

Sambil berjalan keluar, kepala masih lagi ligat berfikir. Ke nak naik train pergi sana. Tapi sempat ke? Kan tak pasal-pasal aku tersangkut di sana.

Dalam 10 minit aku menunggu di luar, dia tiba. Jam dah menunjukkan waku tepat boarding. Aduhh.. terlepas.  Nak pergi ke KLIA 1 memang tak sempat.

Mata dah berair. Nak beli tiket baru, aku masih berkira-kira. Aku dah banyak guna duit semasa pergi bercuti di Terengganu minggu lepas. Kawan pun tiada duit katanya.

Aku mennelefon seorang-seorang yang aku rasakan boleh membantu. Mungkin ada yang boleh pinjamkan aku duit segera.

Nak dijadikan cerita, setelah aku menelefon beberapa orang, ada kawan aku yang boleh bantu tapi perlukan masa untuk dia cari bank. Ah sudah.. risaunya. Nak bermalam dulu pun sementara cari bantuan pun aku tidak mampu. Manalah ada duit dah.

Aku dah tawakal.

“Takpalah. Hantar je la su dekat airport.”

“Habis tu macam mana?”

“Takpa. ada kawan sudi bantu. Tinggal je su dekat sana. Cepatlah”

Kawan aku segera tinggalkan aku dekat sana. Aku tawakal.  Di pintu masuk tu, tiba-tiba aku terpandang mesin ATM. Entah apa yang gerakkan aku, aku masuk ke dalam tu.

“Kita cubalah. Tak cuba tak tahu.”

Dan alhamdulillah… entah mana datangnya duit dalam tu. Betul-betul cukup untuk aku beli tiket.

Alhamdulillah. Aku segera berlari ke kaunter pertanyaan untuk dapatkan maklumat apa yang sepatutnya aku lalukan.

“Nanti pergi dekat belakang sana, ada AirAsia. Beli dekat sana tiket baru.”





Dan alhamdulillah. Segalanya dipermudahkan.

Hampir menangis aku. Ah perempuan. Apalah yang dia tahu melainkan mengalirkan air mata.
Alhamdulillah. Segalanya dah selesai. Aku dah selamat sampai dan aku takkan datang lagi dah sendirian macam tu. Takut aku.

Alhamdulillah syukur pada Allah yang bantu aku. Tiada daya dan upaya aku melainkan semuanya Allah yang permudahkan.