Tuesday, July 30, 2013

Saya Dah Berubah

Ya, saya telah berubah...


Ada orang kata pada saya, ustaz dah berubahlah...
Dulu keras tetapi sekarang macam 'slow dan 
senyap'...

Ramai dikalangan kita kurang memahami bahawa perubahan diri ialah merupakan sesuatu perkara yang fitrah dalam kehidupan khususnya para remaja, anak muda baik dara atau pun teruna.

Dalam hidup ini ada orang yang kita lihat jahat kemudian menjadi baik, dahulunya baik kemudian berubah menjadi jahat. Apa yang kita ucapkan dizaman kanak-kanak mungkin sudah berubah apabila menjadi remaja dan dewasa.

Hari ini seorang ustaz mengatakan sesuatu pendapat maka mungkin esok atau lusa dia akan mengubah pendapatnya. Ya, perubahan itu satu perkara yang fitrah. Pendapat Imam Syafi'e ketika di Iraq tidak sama dengan pendapatnya yang baru selepas berpindah ke Mesir.

Kematangan setiap orang pada sesuatu perkara itu tidak sama

Ada orang yang bermula 'matang' dalam agama hanya setelah berusia 30-an, ada pula yang baru 20 an sudah pun matang. Bergantung pada pengalaman, ujian dan tarbiyyah kehidupan yang menimpanya.

Ustaz muda yang baru lulus universiti mungkin menukar pendapatnya apabila beliau sudah bernikah. Kemudian apabila dia sudah bernikah mungkin menukar pendapatnya apabila sudah mempunyai anak. Kemudian apabila sudah mempunyai anak pula mungkin dia akan mengubah pendapatnya kala sudah bercerai dengan isterinya. Kemudian mungkin akan berubah lagi setelah bernikah semula...

Sampai bila berterusan begitu?

Aljawab sampai mati kerana hidup ini bukan dikawal oleh kita tetap Allah.

Bahkan baginda nabi salallahualaihiwassalam pun selalu membaca doa,
يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
'Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu ' [riwayat al-Tirmidzi] Dalam riwayat Muslim menyebut kalimah عــلى طـا عــتـك di atas ketaatan kepadaMu.

Perubahan diri pasti akan berlaku kepada setiap orang cuma persoalannya apakah perubahan itu ke arah keburukan atau kebaikan ? Kepada semakin mendekati kebenaran atau semakin menjauh ? Kepada menjadi ahli syurga atau neraka ?

Satu hal yang lumrah bagi anak anak-anak muda pada hari ini di tanahair yang bergelumang dengan dunia 'fikrah' dan 'idealism' untuk menyertai PAS, Umno, Jim, Haluan, Isma, Abim, Ikram, Tabligh, Hizbut Tahrir, Salafy, Ikhwan Muslimin, Sosialis, liberal, 'free thinker' dan sebagainya.

Tetapi itu bukan penamatnya...

Lupakah kita bahawa Imam Abu Hasan al-Asya'ari pun pada waktu mulanya adalah seorang 'muktazilah' ?

Ramai saja dalam sejarah, dikalangan ulama yang bermazhab hanafi berpindah kepada mazhab syafi'ie, dari Syafi'ie kepada Maliki dan sebagainya.

Sahabat Nabi Salallahualaihiwassalam yang bernama Salman al-Farisi RA pun asalnya penyembah majusi, kemudian menjadi nasrani sehingga akhirnya setelah dijual sebagai hamba kepada seorang yahudi di madinah barulah beliau dapat bertemu dengan Islam...

Tidak penting bagaimana seseorang itu bermula tetapi bagaimana dia akan berakhir...

Justeru buat anak muda, janganlah berhenti berlari dan mencari kebenaran kerana 'jemaah, fikrah, pendapat, mazhab, aliran pemikiran hari ini' mungkin ialah satu persinggahan sementara...

Mintalah pada Allah akan hidayah, kejar dan carilah ia, jika dapat maka berpeganglah ia dengan bersungguh-sungguh !

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ ٱلْوَهَّابُ
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)." [Ali-Imran:8


No comments:

Post a Comment