Friday, December 18, 2020

NASIHAT BUAT DIRI YANG TELAH BERTUNANG

Hari tu berkesempatan untuk berbual panjang dengan seseorang yang sangat dihormati. Lemah lembut budi pekertinya dan sangatlah baik budi bicaranya. Alhamdulillah.
 
Apabila mengetahui diri ini telah menjadi tunangan orang, ada si dia tetap titipkan beberapa pesanan sebagai pegangan. Dan aku abadikan di sini sebagai nasihat buat diri.
 
 
**************************************************

Buat CikSu yang dikasihi,
 
Kata orang, tempoh bertunang ini adalah mencabar.  Bukan sekadar suka-suka, bukan sekadar tempoh untuk sibukkan diri dengan persiapan majlis perkahwinan, apatah lagi pertunangan ini bukanlah tiket untuk menghalalkan sesuatu maksiat dengan alasan calon suami telah pasti menjadi milik kita.
 
MasyaAllah.
 
Jagalah diri baik-baik.
Jagalah hati baik-baik.
Jagalah hubungan baik-baik.
Jagalah iman sebaik mungkin.
 
Jadikanlah tempoh bertunang ini sebagai satu tempoh untuk muhasabah diri. Banyakkan istighfar, banyakkan memohon ampun dan bertaubat dari segala dosa yang pernah dilakukan. Semoga Allah mengampuni segala dosa, segala perbuatan yang tidak baik, segala maksiat hati dan anggota badan yang pernah dilakukan. Sebab apa? Sebab tanda syukur kepada Allah yang kurniakan calon pasangan hidup kepada kita. Berapa ramai lagi yang masih mencari jodoh, tapi masih belum dipertemukan, maka siapa kita untuk menidakkan nikmat Allah yang satu ini?
 
Allah itu Maha Mengaturkan perjalanan hidup kita. Usah disesali apa yang telah berlaku, usah dikesalkan apa pernah dilakukan. Teruskan bertaubat kepada Allah, teruskan melangkah dengan penuh rasa cinta dan sayang dalam hati untuk istiqamah dalam penghijrahan diri. Bersyukurlah setiap peristiwa yang pernah berlaku dalam hidup kita, yang tanpa sedar mengandungi hikmah yang cukup hebat buat pegangan diri menghadapi masa depan.
 
Duhai CikSu yang disayangi,
 
 
Menjadi isteri solehah itu ada idaman setiap wanita yang bergelar isteri, yang telah menyerahkan diri secara sah kepada seorang lelaki yang tidak pernah dikenali sepenuhnya sebelum ini. Isteri solehah itu bukan satu anugerah yang boleh dapat hanya dengan mengamalkan tips dari buku atau seperti pelajar yang lulus peperiksaan, tapi isteri solehah adalah satu perjuangan yang perlu diperjuangkan oleh seseorang yang bergelar isteri.
Ada satu hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “ Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.”
 
Bagaimana cara menjadi isteri solehah?
Banyakkan berdoa pada Allah.
Teruskan bertaubat dan istighfar atas segala dosa yang pernah dilakukan.
Belajar ilmu sebanyak mungkin.
Jauhkan diri dari maksiat yang akan menjadi kemurkaan Allah
Kawal diri dari berhubung atau kembali kepada perangai lama yang tidak baik
Sayangi diri selalu
 
Duhai CikSu yang disayangi,
 
Yang terakhir, ingatlah..
Seorang suami itu adalah kurniaan Allah kepada awak, banyak hak dia yang perlu dipenuhi. Maka, jadikanlah tempoh pertunangan ini adalah satu tempoh untuk perbaiki diri, jaga hubungan pertunangan ini dari segala bentuk maksiat, supaya awak dan dia akan dipersatukan dalam redha Allah.  Teruskan berdoa kepada Allah, teruskan mengadu dan serahkan semuanya kepada Allah walau apa jua cabaran yang dihadapi kerana tiada daya dan upaya kita melainkan semuanya dengan rahmat dan kasih sayang Allah.

Sayang awak selalu kerana Allah.

Friday, December 4, 2020

SEMUANYA INI KERANA ALLAH

 “Su, how I wish to be like you.”
 
“Budak ni bagus.. A+”
 
“Orang baik ramai sayang”
 
Suka kan apabila dipuji orang.
 
Kadang-kadang merah padam muka tak tahu nak balas apa apabila dipuji. Dalam hati hanya Allah yang tahu betapa tidak selesanya mengenangkan dosa dan aib diri yang menjadi rahsia antara kau dan Allah.
 
Tanpa sedar, Allah berikan satu ilmu mengenai pujian dalam buku tulisan Ustazah Asma Harun bersama Dwi Suwiknyo bertajuk ‘Ya Allah, Bersama-Mu Aku Bahagia’, muka surat 83 hingga 85.
 
Dalam Islam, semuanya ada adabnya. Tak terkecuali adab ketika mendapat pujian.
 
 
Jawapan ketika mendapat pujian dari orang lain.

“ Terima kasih, namun semuanya ini kerana Allah.  Maka Allah yang paling layak dipuji atas kebaikan di dalam diri kita dana pa pun kebaikan yang kita kerjakan.”
 
Atau
 
“ Doakan aku selalu, semoga Allah sentiasa menolong dan melindungiku.  Sebabnya, aku tidak akan mampu menjadi seperti ini seandainya Allah swt tidak redha mengizinkannya”
 

Doa ketika dipuji oleh orang lain.
(Hadith direkodkan oleh Imam Jalaluddin Sayuti dalam Jami’ Al-Hadith)
 
Asma’I berkata, Abu Bakar ketika dipuji beliau berdoa,
“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. 
 
Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyeksaku dengan perkataan mereka.”