Wednesday, April 12, 2017

IKHLAS KERANA ALLAH

Petikan daripada Buku Tangisan Umat tulisan Ebit Lew.

Satu hadis yang bila dikenang membuat kita rasa sedih dan takut.  Iaitu 3 jenis orang yang sangat hebat di mata manusia dari segi amalan agama mereka.

Sebagaimana yang disebut pada hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Pada hari kiamat orang pertama yang akan dibuat keputusan azab ke atas mereka ialah seorang yang mati syahid.  Orang itu akan dibawa dihadapan Allah kemudian diperingatkan tentang nikmat-nikmat yang telah diberi oleh Allah berikan kepadanya dan dia mengakui nikmat itu.  Kemudian Allah bertanya bagaimana kamu telah mempergunakan nikmat itu? 

Dia menjawab: “ aku berjihad demi keredhaanMu sehingga aku mati syahid.”

Allah berkata: " kamu dusta, kamu berjihad hanya supaya digelar pahlawan dan kamu telah memperolehinya.” Kemudian hukuman pun diputuskan untuk orang itu, lalu mukanya ditarik dalam keadaan terlangkup dan dihumban ke dalam neraka jahanam.

Orang kedua itu mempelajari ilmu lalu dia ajarkan kepada orang lain dan dia juga membaca Al-Quran.  Orang itu akan dibawa dihadapan Allah kemudian diperingatkan tentang nikmat-nikmat yang telah diberi oleh Allah kepadanya dan dia mengakui nikmat itu.  Kemudian Allah bertanya bagaimana kamu telah mempergunakan nikmat itu?

Orang itu menjawab: “ Aku mempelajari ilmu dan aku mengajarkan kepada orang lain dan aku juga membaca Al-1Quran keranaMu”.  

Allah berkata: " Kamu dusta, kamu mempelajari ilmu agama supaya dikatakan orang sebagai alim, dan engkau membaca Al-Quran hanya supaya dikatakan orang lain sebagai qari.” 

Kemudian hukuman pun diputuskan untuk orang itu, lalu mukanya ditarik dalam keadaan terlangkup dihumban ke dalam neraka jahanam.

Ketiga ialah orang yang diberi nikmat dunia melimpah ruah dan harta yang banyak.  Orang itu akan dibawa dihadapan Allah kemudian diperingatkan tentang nikmat-nikmat yang telah diberi oleh Allah kepadanya dan dia mengakui nikmat itu.  

Kemudian Allah bertanya bagaimana kamu telah mempergunakan nikmat itu? Orang itu menjawab, :” Saya membelanjakan semua harta yang Engkau beri di jalan yang Engkau suka dan hanya semata-mata keranaMu.  

Allah berkata: " Kamu dusta, sebenarnya kamu melakukan itu semua hanya supaya dikatakan kamu sebagai dermawan" .  Kemudian hukuman diputuskan untuk orang itu, lalu mukanya ditarik dalam keadaan terlangkup dan dihumban ke dalam neraka jahanam.

-       Riwayat Muslim-