Friday, August 7, 2015

Terjemahan Surah Al-Qiyamah

1. Aku bersumpah Dengan hari kiamat;

2. dan Aku bersumpah Dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan
dibangkitkan sesudah mati)!

3. Patutkah manusia (yang kafir) menyangka Bahawa Kami tidak akan dapat
mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?

4. bukan sebagaimana Yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan
sempurnanya Segala tulang) jarinya, (tulang Yang lebih Halus dari Yang lain).

5. (kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar)
sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang
hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat).

6. Dia bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari kiamat
itu?"

7. maka (Jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi
terpendar-pendar (kerana gerun takut),

8. dan bulan hilang cahayaNya,

9. dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,

10. (maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat):
"Ke manakah hendak melarikan diri?"

11. tak usahlah bertanya demikian! tidak ada lagi tempat perlindungan!

12. pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan Segala
perkara.

13. pada hari itu, manusia diberitahu akan apa Yang ia telah lakukan, dan apa
Yang ia telah tinggalkan.

14. bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,

15. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).

16. janganlah Engkau (Wahai Muhammad) - kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai
dibacakan kepadamu).

17. Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam
dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

18. oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan
perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

19. Kemudian, Sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan
kandungannya (yang memerlukan penjelasan).

20. Sedarlah Wahai orang-orang Yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan
kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia)
Yang cepat habisnya.

21. dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi
kehidupannya).

22. pada hari akhirat itu, muka (orang-orang Yang beriman) berseri-seri;

23. melihat kepada Tuhannya.

24. dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,

25. sambil percaya Dengan yakin Bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab
seksa) Yang membinasakan.

26. Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. ingatlah akan
hal orang Yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,

27. dan (orang-orang Yang hadir di sisiNya heboh) berkata: "Siapakah Yang
dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?"

28. dan ia sendiri yakin, Bahawa Sesungguhnya saat itu saat perpisahan;

29. serta kedahsyatan bertindih-tindih;

30. (maka) kepada Tuhanmu lah - pada waktu itu - Engkau dibawa (untuk menerima
balasan).

31. (oleh sebab orang Yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia
tidak mengakui kebenaran (yang Diwajibkan meyakininya) dan ia tidak mengerjakan
sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!

32. akan tetapi ia mendustakan, dan berpaling ingkar!

33. kemudian ia pergi kepada keluarganya Dengan berlagak sombong megah.

34. (Wahai orang Yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu,
sudahlah dekat!

35. kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.

36. Patutkah manusia menyangka, Bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan
tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?

37. Bukankah ia berasal dari air mani Yang dipancarkan (ke Dalam rahim)?

38. kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan
menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?

39. lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis - lelaki dan perempuan.

40. Adakah (Tuhan Yang menjadikan semuanya) itu - tidak berkuasa menghidupkan
orang-orang Yang mati? (tentulah berkuasa)!

No comments:

Post a Comment