Tuesday, September 17, 2019

ANGAH KESAYANGAN AKU


“Su, angah minta maaf dekat su. Tak tau, angah macam tak reti bab-bab macam ni.”

“Tak faham. Minta maaf kenapa?”

“Sebenarnya tanggungjawap ayah untuk mencari pasangan buat anak perempuannya. Dan sekarang ayah dah takda, jadi tanggungjawap tu dah jatuh pada anak lelaki sulung. Jadi angah minta maaf la sebab angah memang tak pandai nak carikan.”

“Ohhhh takpa angah. Jangan risau. Muda lagi ni.”

“Ye ke muda lagi?”

“Betullah muda lagi kalau nak dibandingkan dengan umur 40.”

Hahahaha.. kami ketawa kuat serentak.

Inilah angah aku.
Tegas luarannya tapi dalaman penuh dengan kasih sayang.

Hari ahad lepas angah telefon bertanyakan hal pokok tumbang di laluan rumah ma kami dan perbualan itu berlanjutan sehingga kepada hal jodoh aku.

Macam-macam aku cerita sehinggalah angah meminta maaf atas kekurangan dia.

masyaAllah.

Serius aku terharu dengan angah aku seorang ni.
Aku tahu angah serba salah sebab aku yang berada di kampung sekarang yang menggantikan dia sebagai anak lelaki pertama untuk menjaga ma.

Angah aku ni, sejak aku balik kampung 3 tahun lepas sampailah sekarang, dialah yang paling ambil berat mengenai aku. Tak terkira berapa ribu dah duitnya habis untuk sara hidup aku walaupun dia ada tanggungjawap untuk sara keluarga kecil dia. Duit setiap bulan tak pernah miss, duit hadiah lagi, duit balik kampung lagi.. masyaAllah.

Terima kasih angah.
Semoga Allah balas yang lebih lagi buat angah.

Ya Allah
Kau permudahkan segala urusan angah aku
Kau limpahkan rezeki yang banyak untuk dia ya Allah
Kau terimalah segala amalnya, segala sedekahnya, dan redhailah hidupnya
Kau kumpulkanlah kami sekeluarga di syurga Firdaus Mu ya Allah.

Aminnn

Sunday, September 1, 2019

TAMPARAN TAKDIR

“Untunglah jadi bos, kalau badmood atau mood tak ok, boleh je duduk diam-diam dalam pejabat. Tak perlu nak hadap anak-anak.” Fikir aku apabila aura negatif menguasai.   Itu pun sebab tiba-tiba kawan aku meluahkan bahawa bos aku sedang badmood, muka masam mencuka ketika bersama kami. Maklumlah, kami kerja hari-hari bersama ni, boleh rasa perubahan mood tu tambah-tambah kami memang perlu sentiasa ceria setiap hari.
.
Elok saja aku fikir macam tu, aku diuji Allah dengan nikmat kesihatan ditarik balik.
.
Hari sabtu kemudian,
“Eh, kenapa telinga aku bengkak merah ni? Gatal pun ada. Apa yang bintik hitam ni?” aku gelisah apabila telinga aku bengkak. Tak pernah macam ni.  Aku cuba mencabut bintik hitam itu dan ternyata adalah serangga kutu babi atau di Kelantan dikenali sebagai pirah. “Patutlah bengkak”.
.
Malam tu tak boleh tidur aku dibuatnya. Telinga gatal-gatal kesan daripada serangga itu dan sakit apabila ditindih.
.
Esoknya aku pergi kerja dengan tak tenang. Mengantuk semacam. Tapi nasib baik anak-anak pun tak ramai, jadi aku masih mampu bertahan untuk ceria melayani mereka.

2 hari telinga aku bengkak ketika kerja.

Nak dijadikan cerita, takdir Allah, sembuh saja telinga tu, hari selasa petang, aku makan durian dengan banyaknya. Nafsu mana yang hasut aku pun tak tahu tapi itulah, aku makan dengan banyak sampaikan malam tu aku pening kepala. Tak pernah lagi aku makan durian sampai sakit-sakit kepala.
.
Esoknya, pagi-pagi lagi aku muntah teruk. Aku masih lagi cuba bertahan, dan bersiap-siap untuk bekerja. Tambah-tambah apabila teringatkan status wasap kawan aku yang ditahan di hospital jadi dah kurang seorang staf. Ingatkan muntah akan berkurangan, tapi aku silap. Sampai saja di tempat kerja, aku muntah lagi. Adoii.. harap-harap mampu bertahan.

Entah macam mana, hari itu merupakan hari tragedi bagi kami. Anak-anak 5 6 orang bergilir-gilir muntah dan berak cair. Dan aku juga tidak ketinggalan, bergilir dengan anak memuntahkan apa yang ada di dalam badan. Air yang diminum juga diluahkan semula tanpa sempat masuk ke dalam perut.

Dan hari itu, habis tenaga aku, yang tinggal cuma jiwa kasihankan anak-anak saja. Terduduk aku sambil cuba bertahan. Anak-anak yang sudah terbiasa bermanja juga aku tepis dengan lembut dan kadang-kadang terkasar juga supaya aku dapat bertenang. Kesian juga kepada mereka tapi itulah. Aku betul-betul tak larat untuk bermanja.

Dan sakit perut aku masih lagi berlarutan sampai hari kelima. masyaAllah. Tak pernah lagi aku diuji sebegini rupa. Apa yang aku makan semuanya rasa pahit.

Termenung aku teringatkan apa yang telah terjadi. Dosa apa yang telah aku lakukan sampai sebegini rupa diuji.

Dan iya! Aku telah perlekehkan bos aku dan Allah bagi aku balasan supaya aku rasa apa yang telah bos aku rasa. Aku lupa bahawa semua hidupku, semangatku, hidupku, semuanya kurniaan Allah. Allah yang beri aku kekuatan untuk melayani kerenah anak-anak, bukan diri aku. Semua tu rahmat Allah.

Ya Allah, maafkan aku.